BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, May 30, 2007

FILEM, MUZIK DIGUNA BAGI PERKENAL KEINDAHAN SASTERA
Guru Sekolah Menengah Unity jadikan bahan sebagai penghidup kelas Bahasa Melayu
Oleh Soraya Salim Cyberita Online Singapura Rabu 30 Jun 2007

APAKAH kaitan antara filem, muzik dengan sastera Melayu?

Bagi Cik Khamilia Hanapi, 27 tahun, bahan filem dan muzik itu merupakan kunci untuk menjadikan kelas bahasa Melayu yang diajarnya lebih hidup dan menarik.

Guru Sekolah Menengah Unity yang mengajar daripada peringkat menengah satu hingga lima itu kerap menggunakan muzik dan filem Melayu lama dan baru untuk memperkenalkan keindahan kesusasteraan Melayu.

Filem-filem klasik seperti yang dihasilkan seniman terkenal, Allahyarham P. Ramlee, dan muzik nyanyian Ismail Haron dan Nuradee dijadikan bahan pengajaran.

Bahkan, Cik Khamilia turut menggunakan bahan-bahan dalam bahasa asing, seperti filem Perancis dan lagu pop Inggeris terkini untuk menerangkan dengan lebih jelas konsep-konsep kesusasteraan, sekali gus menjadikan kelasnya lebih menarik.

'Pelajar hari ini terdedah kepada pelbagai jenis muzik dan filem. Jadi dengan menggunakan kaedah ini, ia langsung akan menarik minat mereka. Kalau tidak ada variasi, mereka akan cepat jelak dan bosan.

'Saya juga dapati bahan filem dan muzik ini berguna sebagai contoh, terutama apabila perlu menjelaskan topik-topik yang lebih susah difahami,' katanya ketika ditemui dalam Seminar Bahasa Melayu anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) di Maktab Rendah Innova semalam.

Acara tersebut dihadiri tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidik an), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed.

Cik Khamilia adalah antara 16 guru bahasa Melayu yang mengongsi kaedah pengajaran bahasa Melayu mereka kepada guru-guru lain.

Seorang lagi guru dari Maktab Rendah Pioneer, Encik Hajis Salim, pula membuat penyampaian tentang perbandingan antara sajak, terutama yang bertemakan nilai-nilai kemanusiaan.

Encik Ishak Abdul Latiff, guru Sekolah Menengah Bedok View, pula berkongsi bagaimana beliau menggunakan buku cerpen untuk mengajak pelajar menulis skrip dan berlakon.

Selain sesi perkongsian, para guru berpeluang mendengar kertas kerja yang dibentangkan dua pensyarah dari Malaysia dan mengambil bahagian dalam perbincangan panel.

0 mulled it over: